Sejarah Kelantan Darul Naim F.C.

Kelantan United Football Club (KUFC) merupakan sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan. Beraksi dalam saingan Liga Premier anjuran Malaysian Football League (MFL).

Ditubuhkan pada 2016 dan dikenali sebagai MPKB-BRI Ubes FC, mereka beraksi dalam saingan Piala FAM 2017 setelah diterima masuk dan selepas itu, mereka tidak menoleh ke belakang apabila secara konsisten menyertai pertandingan sehingga tahun 2018. Pada tahun 2019, selaras dengan hasrat semua pihak serta kerajaan negeri Kelantan yang mahukan satu perubahan pada sebuah pasukan bola sepak, MPKB-BRI Ubes FC dijenamakan semula dan dikenali sebagai Kelantan United Football Club atau Kelantan United FC atau KUFC

Kelantan United FC menjadikan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang berkapasiti 30,000 sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk semua perlawanan liga dan piala. Pemilihan stadium yang dirasakan tepat kerana sejarah dan kehebatan bola sepak negeri semuanya berpaksikan di stadium ini.

Bekas ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi merupakan presiden kelab manakala Akira Higashiyama merupakan jurulatih terkini Kelantan United FC setelah melalui beberapa fasa perubahan struktur kejurulatihan pasukan. Sebelum merekrut Akira, jurulatih berpengalaman, Zahasmi Ismail telah dilantik di kerusi berkenaan manakala Nazrulerwan Makmor pula mengambil alih jawatan Zahasmi buat sementara pada penghujung 2020.

Pada tahun 2019, penubuhan pasukan ketika itu dianggotai seramai 26 pemain dan pegawai seramai 12 orang. Antara pemain bintang yang beraksi ialah Shahrizan Ismail yang juga ketua pasukan, Fakhrul Zaman, Faizol Nazlin, Badhri Radzi (Piya), Amiridzwan Taj, Nizad Ayub serta Daudsu Jamaluddin.

Musim itu, Kelantan United FC telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga M3 selepas mengenepikan saingan 13 pasukan lain seterusnya menduduki carta pertama dengan memungut 66 mata selain merekodkan jaringan terbanyak iaitu 93 gol. Mereka juga hanya dibolosi sebanyak 18 kali sepanjang 26 perlawanan. Fakhrul Zaman merupakan penjaring terbanyak kejohanan iaitu melakar 28 jaringan manakala penjaga gol, Shahrizan Ismail turut mencipta rekod tidak bolos sebanyak 13 kali.

Skuad bimbingan Zahasmi Ismail ini juga telah menyertai pertandingan Shopee Piala FA dan menamatkan saingan pada pusingan ketiga selepas tewas kepada pasukan Liga Super, Terengganu FC. Bagaimanapun, pencapaian ke pusingan ketiga merupakan sejarah kelab selepas sebelum ini hanya mampu mara ke pusingan pertama sahaja pada 2018. Kejayaan terbesar pada saingan ini, Kelantan United FC cemerlang menewaskan juara Liga Perdana, Sabah FA pada perlawanan pusingan kedua dengan keputusan 1-0 di Kota Bharu.

Kejayaan yang diraih itu telah membolehkan status kelab amatur berubah kepada pasukan profesional setelah layak merit ke Liga Premier 2020, Skuad 2020 dianggotai seramai 26 pemain dan pegawai pula 12 orang. Ketika ini beberapa nama termasuk import telah menyertai kelab seperti Aliff Romli, Aylton Alemao, Selwan Al Jaberi serta Adil Kouskous. Gassama Alfusainey serta beberapa tonggak tempatan seperti Amiridzwan Taj, Daudsu, Shahrizan Ismail dan lain-lain dikekalkan dari skuad 2019.

Pada musim ini juga, Kelantan United FC telah menubuhkan skuad pelapis yang bersaing dalam saingan Piala Presiden anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pasukan ini diketuai oleh YB Rozi Muhamad sebagai Pengurus manakala Hamdan Mohamad dilantik sebagai Ketua Jurulatih. Staf sokongan terdiri dari 11 pegawai dan jurulatih dan dianggotai 29 pemain.

Bagaimanapun, oleh kerana situasi pandemik Covid-19, industri bola sepak negara suram dek arahan Kerajaan yakni Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan skuad Piala Presiden dibubarkan setelah lima perlawanan manakala pasukan Liga Premier pula terpaksa bersaing liga sepusingan untuk menamatkan musim 2020 di kedudukan kelapan namun menjadi lima kelab terbaik seterusnya mara ke kejohanan Piala Malaysia buat kali pertama.

Setelah melalui onak duri dan ranjau sejak dijenamakan semula tiga tahun sudah, Kelantan United Football Club (KUFC) atau Kelantan United FC kembali membina skuad untuk saingan Liga Premier 2021.

Hanya lima pemain musim lepas dikekalkan termasuk Gassama Alfusainey. Selebihnya merupakan pemain baru yang direkrut dari pasukan Liga Premier dan Liga Super. Antara nama yang menyertai mereka ialah Hariz Kamarudin, Azriddin Rosli, Syahrul Azwari serta kembalinya lagenda, Badhri Radzi dari persaraan. Lantikan Akira Higashiyama sebagai jurulatih turut membawa kepada kehadiran pemain import dari Jepun iaitu Yuki Tanigawa. Selain itu, lagenda Jepun yang pernah beraksi di Piala Asia selain mencipta sejarah dengan kelab J1, Masashi Motoyama turut bersetuju menyertai kelab. Kedatangan Shuhei Fukai dari kelab J3 melengkapkan senarai import 2021.

Melihat pada perkembangan dari musim ke musim, Kelantan United FC atau "The Green Deers" meletakkan sasaran kedudukan empat terbaik Liga Premier 2021 selain menyasarkan layak ke Piala Malaysia. Keberhasilan belum terbukti setakat mana namun kesungguhan pihak pengurusan untuk menuju kearah itu telah terbukti. Dalam mengejar sasaran, kelab sentiasa mendokong misi dan visi pasukan. InshaAllah, kejayaan akan menjadi milik Kelantan United Football Club musim ini.

Kelantan United FC dijenamakan semula sebagai Kelantan Darul Naim untuk saingan Liga Super Malaysia bagi musim 2024-2025.  Presiden KDNFC, Rozi Muhammad berkata penjenamaan semula nama dan logo kelab itu adalah hasrat pengurusan untuk menyatukan semula semua penyokong bola sepak Kelantan di bawah satu panji kebanggaan iaitu Kelantan Darul Naim. Tambah beliau lagi, pertukaran nama dan logo baharu bukan bertujuan menggantikan pasukan utama Kelantan, "Kelantan FC" tetapi ia adalah perubahan yang dilakukan untuk melihat kelab itu mampu bersaing dengan kelab-kelab utama lain di Liga Super serta lebih kompetitif dalam hierarki tertinggi Liga Malaysia tersebut.[5]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Kelantan Darul Naim F.C. http://www.bernama.com/bernama/v7/sp/newssports.ph... http://www.sinarharian.com.my/sukan/felda-kl-berde... http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama... https://web.archive.org/web/20160303020800/http://... http://footballsentral.com/five-new-teams-make-it-... https://www.thesukan.com/mpkb-bri-ubes-fc-merekodk... https://web.archive.org/web/20170206030500/http://... http://www.stadiumastro.com/ms/article/2017/02/05/... http://www.sinarharian.com.my/ultras/mpkb-bri-ubes... https://www.facebook.com/KelantanUnitedFC/